Sunday, March 1, 2009

Penduduk dakwa dizalimi pihak berkuasa

Rumah panjang diroboh tanpa notis, harta benda bernilai lebih RM60 ribu musnah
Seorang penghuni rumah panjang di Batu 15,Jalan Mukah-Selangau di sini telah membuat laporan di balai polis Selangau petang semalam kerana tidak puas hati dengan tindakan pihak berkuasa yang meroboh dan merosakkan harta benda beliau dan dua lagi ahli keluarga yang lain.

Mensekar Banyau, 70, yang merupakan ketua kepada keluarga-keluarga yang mendiami rumah tersebut mendakwa kakitangan sebuah jabatan kerajaan bertindak zalim kerana merobohkan rumah mereka tanpa notis peringatan walaupun dalam masa 24 jam.

“Tindakan mereka tidak dapat dihalang dan mereka melakukan sesuka hati sehingga menyebabkan kami yang mendiami rumah ini dan memiliki harta benda berasa sakit hati serta ingin menuntut jumlah kerugian yang dianggarkan lebih RM60,000,” katanya kepada Utusan Borneo ketika ditemui di tempat kejadian petang semalam.

Katanya lagi, buat masa ini mereka yang terjejas akibat tindakan tersebut menumpang di rumah panjang sanak saudara sementara mengumpul perkakas yang masih boleh digunakan untuk mendirikan pondok tempat tinggal.

Kata Mensekar, tindakan serupa turut dilakukan oleh kakitangan pihak berkuasa yang sama terhadap beberapa buah rumah di kawasan tersebut pada 16 Oktober 2008.

“Belum lagi selesai kes mereka yang menebang beberapa buah rumah dengan cara yang sama pada 16 Oktober 2008 lalu, penguat kuasa jabatan itu turut merobohkan rumah tempat kediaman kami tiga keluarga pagi semalam iaitu 26 Februari 2009, kira-kira jam 10.30 pagi.

“Hanya satu keluarga yang berada di dalam rumah itu pada masa kejadian kerana dua keluarga lagi sedang bekerja dan tinggal di rumah kakitangan syarikat tempat mereka bekerja. Saya dan isteri saya tidak mampu dan tidak diberi kesempatan langsung untuk memindahkan barang-barang dan harta benda yang berada di dalam rumah kerana apabila sampai sahaja mereka terus merobohkan rumah itu menggunakan sebuah jentolak.

“Kami tidak menerima apa-apa surat pemberitahuan daripada pihak berkuasa dan tidak diberitahu juga bahawa rumah ini akan dirobohkan atas sebab mengganggu proses pembinaan Jalan Mukah-Selangau.

“Mereka memberitahu saya pada suatu ketika dahulu bahawa sebahagian daripada rumah saya yang sudah diroboh oleh saya sendiri sememangnya termasuk dalam kawasan jalan baru, namun sebahagian lagi diberitahu sendiri oleh seorang kakitangan jabatan dari Mukah ia tidak termasuk dalam pembinaan jalan dan masih boleh didiami.

“Itulah sebabnya kami terus mendiami rumah ini dan tiba-tiba kehadiran mereka semalam ternyata adalah satu daripada penipuan dan mempunyai muslihat yang tersendiri,” kata Mensekar dengan kesal.

Seorang lagi penduduk, Nyunkin Renjau yang tinggal di rumah sama turut memberitahu bahawa beliau sungguh terkejut dan marah apabila kediaman mereka musnah setelah dirobohkan oleh pihak yang tidak bertimbang rasa.

“Kami menerima nasib malang apabila padi, baja, motosikal,harta benda lama dan wang tunai yang berada di dalam dan kawasan rumah tersebut telah musnah sama sekali. Rumah kami ditumbangkan dengan jentolak sehingga semua harta benda musnah dan tindakan sebegini amat kejam seolah-olah kami binatang bukan manusia,” kata Nyunkin.

0 comments:

 

blogger templates | Make Money Online