Sunday, March 1, 2009

Seorang penganalisis politik tempatan khuatir calon pembangkang akan menang dalam pilihan raya kecil Batang Ai kelak jika Barisan Nasional (BN) gagal memberi penjelasan dan menguruskan sebaik mungkin isu berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, para pengundi di kawasan yang mempunyai 95 peratus pengundi Iban itu akan menggunakan proses pilihan raya sebagai tanda protes terhadap tindakan kerajaan.

“Di Batang Ai isu berkenaan boleh meletup apatah lagi apabila penduduk di kawasan terlibat dengan pemindahan empangan hidro pada suatu ketika dahulu masih lagi mengharapkan kerajaan memberikan tanah kepada mereka untuk aktiviti pertanian mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sepertimana pilihan raya-pilihan raya yang lepas menurut beliau, isu tanah tetap akan menjadi isu.

“Ini kerana isu tersebut sangat dekat dengan hati rakyat (permasalahan yang dihadapi umum terutama pemilik tanah NCR).

“Tanpa penjelasan dan pengurusan isu dengan baik, pengundi-pengundi akan marah kepada calon BN dan membuat undi protes,” katanya.

Beliau menambah, isu tanah sering diperkotak-katikkan pembangkang terutama menjelang pilihan raya.

Bagi penduduk luar bandar isu tanah adalah menyentuh hak milik NCR, manakala di bandar para pemilik hartanah sensitif tentang soal pembaharuan hak milik dan pembayaran premium.

“Jelas bahawa tidak kira di mana jua dan apa sahaja bangsa seseorang itu isu tanah sememangnya dekat dengan hati,” katanya.

Tarikh penamaan calon dan membuang undi untuk pilihan raya kecil Batang Ai, selepas kematian penyandangnya Datuk Dublin Unting Ingkot akan diketahui selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat pada 4 Mac depan.

Sementara itu, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuching Dominique Ng ketika dihubungi mengesahkan isu tanah NCR memang agenda kempen utama pembangkang.

‘Umpan’ pembangkang untuk memenangi hati para pengundi juga bersandar kepada kekurangan pelaksanaan projek-projek pembangunan di Batang Ai, kata Dominique yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan.

Mengenai calon, beliau memberitahu senarai calon telah dikenal pasti dan yakin pucuk pimpinan PKR akan mencapai kesepakatan dalam memilih calon yang benar-benar layak.

Dua nama yang disebut-sebut bakal menjadi calon PKR ialah Ketua Penaja PKR Batang Ai Nicholas Bawin atau bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang.

Bawin bukan orang baru bagi penduduk Batang Ai.

Mendiang Dublin menjadi wakil rakyat di Batang Ai selama empat penggal sejak 1991.

Pada pilihan raya negeri 2006, Dublin menewaskan calon Parti Kebangsaan Sara-wak (SNAP) Nicholas Bawin Anggat dengan majoriti 806 undi.

Setakat September 2008, Batang Ai mempunyai pemilih berdaftar seramai 8,061 dengan 93 peratus adalah Iban.

1 comments:

Unknown said...

hidup rakyat kuasa rakyat!!!

 

blogger templates | Make Money Online