Sunday, March 1, 2009

MUKAH : Kes buli pelajar tersebar

10 pelajar sebuah sekolah menengah di Dalat disyaki terbabit dalam kes buli pelajar tingkatan 3 yang disebarkan dalam internet

Kes buli seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah ber-asrama di sini yang dibelasah oleh sekumpulan pelajar lain dari sekolah sama, menggemparkan penduduk di sini selepas klip video yang merakamkan kejadian itu disebar dan disiarkan dalam internet.

Insiden buli itu terbongkar dalam klip video selama 3.05 minit itu disiarkan menerusi laman web You Tube sejak kelmarin dan menyaksikan pelajar terbabit yang masih berpakaian seragam sekolah, dibelasah oleh sekumpulan pelajar lelaki dalam sebuah bilik asrama pelajar.

Dalam klip video berkenaan mangsa disepak, diterajang dan dipukul termasuk menggunakan cerek air. Walaupun mangsa cuba merayu namun tidak dipedulikan malah terus dibelasah tanpa belas kasihan. Kejadian dipercayai berlaku di bahagian ini dan perbualan yang terakam dalam video berkenaan menggunakan bahasa tempatan yang kurang jelas.

Malah laporan polis sudah pun dibuat oleh pelajar terbabit yang berasal dari Kampung Penat, Oya, bersama ibu bapanya di Balai Polis Dalat di sini pada jam 12 tengah hari, 23 Februari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Martin Khoo ketika dihubungi Utusan Borneo semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut yang dipercayai berlaku pada minggu lepas.

Katanya, polis memandang serius kes dan penyebaran video klip berkenaan sambil menyifatkan ia sebagai satu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh individu yang masih bergelar pelajar.

Martin berkata, kes dikategorikan di bawah Seksyen 323, Kanun Keseksaan dengan se-ngaja mendatangkan kecede-raan. Seramai 10 suspek yang terdiri daripada pelajar tingkatan 6 disyaki terlibat dalam kes buli tersebut.

Beliau memberitahu, kes itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara sebelum diambil tindakan susulan.

“Kita masih menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara dan akan bertindak secepat mungkin. Setakat ini, belum ada tangkapan namun saya ingin menegaskan, me-reka yang terlibat sama sekali tidak akan terlepas.

“Kita tidak memandang remeh kes seperti ini. Saya juga ingin mengingatkan orang ramai, jangan menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai,” katanya.

Ini merupakan kes buli pelajar yang pertama dilaporkan di negeri ini dalam tahun ini.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Mukah ketika diminta mengulas berhubung kejadian enggan memberikan sebarang komen.

0 comments:

 

blogger templates | Make Money Online